Afrika

132 orang awam terbunuh dalam serangan di Mali

Oleh BERNAMA

Bamako: Serangan ganas pada malam 18 dan 19 Jun lalu mengorbankan nyawa 132 penduduk di tiga perkampungan luar bandar Bankass, menurut kenyataan kerajaan Mali yang dikeluarkan pada Isnin.

Menurut pihak berkuasa Mali, penduduk di kampung Diallassagou, Dianweli, Deguessagou dan sekitar luar bandar Bankass menjadi sasaran serangan kejam itu.

Dalang kejadian berjaya dikenal pasti sebagai sebahagian daripada anggota kumpulan Katiba Macina Amadou Koufa, lapor Xinhua.

Kerajaan mengutuk sekeras-kerasnya serangan ini dan berjanji akan melakukan segala yang perlu untuk mengesan pelaku dan mengheret mereka ke muka pengadilan.

Mali terus berdepan krisis keselamatan, politik dan ekonomi sejak 2012, dengan kejadian pemberontakan, serangan jihad dan keganasan antara komuniti yang telah mengorbankan beribu-ribu rakyatnya serta mengakibatkan ratusan ribu yang lain hilang tempat tinggal.

Disiarkan pada: June 21, 2022 @ 12:32pm
d