Afrika

Tebusan dibebas lepas bayar kira-kira RM200,000

Oleh AFP

Abuja: Seramai 29 individu yang diculik oleh lelaki bersenjata dua minggu lalu ketika mereka pulang dari perkahwinan di barat laut Nigeria sudah dibebaskan.

Perkara itu diberitahu oleh saudara mara mangsa kepada AFP, pada Jumaat.

Insiden penculikan berlaku ketika mangsa yang kesemuanya penjual telefon bimbit dalam perjalanan pulang ke ibu negeri Zamfara, Gusau, selepas menghadiri majlis perkahwinan rakan sekerja.

Ketika dalam perjalanan, salah sebuah kenderaan mereka rosak.

"Dua puluh sembilan ahli kami diculik dua minggu lalu dibebaskan pada Khamis selepas kami membayar 20 juta naira (kira-kira RM242,150) kepada penculik," kata Kabiru Garba Mukhtar, ketua kesatuan peniaga bergerak Zamfara.

Sehari selepas penculikan itu, Mukhtar memberitahu AFP bahawa 30 tetamu di majlis perkahwinan itu sudah diculik, manakala 20 yang lain berjaya melarikan diri.

Dia kemudiannya memaklumkan kesemua 29 individu yang diculik sudah dibebaskan.

"Pembebasan mereka berikutan rundingan sengit dengan penyamun yang pada mulanya menuntut wang tebusan sebanyak 145 juta naira (kira-kira RM1.5 juta)," kata Mustapha Halifa, seorang lagi pegawai kesatuan.

Selepas dibebaskan, mangsa dibawa ke hospital untuk dirawat kerana penyakit yang dijangkiti berikutan keadaan sukar ketika dalam tahanan mereka.

Kumpulan penjenayah lengkap bersenjata di barat laut dan tengah Nigeria, menyerang kampung dan melakukan penculikan beramai-ramai untuk mendapatkan wang tebusan walaupun terdapat operasi ketenteraan untuk memerangi mereka.

Disiarkan pada: June 25, 2022 @ 10:38am
d