Afrika

Peraturan tak masuk akal

Oleh Agensi

Kampala: Sebuah universiti di Uganda menarik balik syarat bagi penuntut kejururawatan dan perbidanan wanitanya supaya mengambil ujian kehamilan sebelum menduduki peperiksaan.

CNN melaporkan, Universiti Antarabangsa Kampala mengeluarkan notis itu Selasa minggu lalu, sebelum menarik balik peraturan berkenaan.

"Ini adalah makluman kepada semua jururawat dan bidan wanita, anda sepatutnya pergi ke KIU-TH untuk ujian kehamilan dengan bayaran 5000 Syiling Uganda (UGX) yang dibayar kepada pejabat akaun hospital.

Menurut notis berkenaan, kegagalan berbuat demikian, pelajar tidak akan menduduki peperiksaan Lembaga Peperiksaan Jururawat dan Bidan Uganda (UNMEB).

Yuran 5,000 UGX ialah kira-kira RM6.11.

Pakar epidemiologi Catherine Kyobutungi yang juga Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Penduduk dan Kesihatan Afrika (APHRC) berkongsi gambar notis itu di Twitter, Rabu lalu.

"Ini benar-benar tidak masuk akal, diskriminasi dan tidak boleh diterima.

"Pelajar kejururawatan dan perbidanan wanita diminta untuk mengambil ujian kehamilan, dengan kos ditanggung sendiri sebagai prasyarat untuk menduduki peperiksaan adalah mengarut," tulisnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Amref Health Africa, Dr Githinji Gitahibukan membalas ciapan itu.

"Apa? kenapa? Betul ke? Kerana kehamilan ada kaitan dengan peperiksaan? Janin memberikan kelebihan yang tidak wajar dalam peperiksaan? Saya sangat keliru," katanya.

Khamis lalu, universiti itu mengubah dasarnya.

"Untuk makluman kepada anda semua, memo dalaman mengenai kehamilan dan ujian kehamilan bertarikh 8 November 2022 dibatalkan (ditarik balik)," tulis Profesor Frank Kaharuza, timbalan naib canselor Kampus Barat universiti itu dalam satu kenyataan yang dikongsi oleh universiti itu di Twitter.

CNN menghubungi Universiti Antarabangsa Kampala untuk mendapatkan komen.

Disiarkan pada: November 14, 2022 @ 2:19pm
d