Afrika

'Tanpa pendidikan, tiada beza antara kamu dengan ayam'

Oleh AFP

Nairobi: Pelajar tertua sekolah rendah di dunia, Priscilla Sitieni, yang usahanya untuk belajar pada usia 90-an sehingga menginspirasikan filem Perancis dan meraih anugerah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco), meninggal dunia di Kenya, pada usia 99 tahun, lapor media.

Cucunya, Sammy Chepsiror, memberitahu bahawa wanita yang mesra dikenali sebagai Gogo Priscilla (Nenek Priscilla) meninggal dunia di rumahnya, Rabu lalu, selepas mengalami komplikasi berkaitan dada.

"Gogo berada dalam keadaan sihat dan menghadiri kelas sehingga tiga hari sebelum dia meninggal dunia, apabila dia mengalami sakit dada yang menyebabkan dia terpaksa berhenti belajar," katanya kepada akhbar pada Khamis.

"Kami bersyukur untuk 100 tahun hayatnya. Dia membuatkan kami berbangga," tambahnya.

Priscilla berusia 94 tahun apabila dia memohon kepada guru besar untuk belajar di sekolah di kampungnya di Rift Valley, Kenya.

Menurut Unesco, wanita itu adalah 'suri teladan kepada komuniti'.

Menerusi temu bual dengan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu pada tahun lalu, Priscilla berkata, tujuannya untuk menggalakkan ibu muda di Kenya untuk kembali ke sekolah selepas mempunyai anak, berbanding berhenti belajar kerana stigma sosial.

"Saya mahu menunjukkan contoh bukan saja kepada mereka tetapi juga kanak-kanak perempuan di dunia yang tidak belajar di sekolah," katanya.

Wanita itu berkata: "Tanpa pendidikan, tiada beza antara kamu dengan ayam."

"Pendidikan adalah masa depan. Pendidikan akan kekal di minda kamu selama-lamanya dan kamu tidak akan kehilangannya."

Usahanya didokumentasikan menerusi filem Perancis bertajuk Gogo, yang memberinya peluang menaiki pesawat untuk kali pertama pada tahun lalu untuk mengembara ke Perancis dan bertemu dengan wanita pertama Perancis, Brigitte Macron.

Disiarkan pada: November 19, 2022 @ 3:05pm
d