Afrika

Kemalangan tiga bas, 37 maut

Oleh AFP

Abuja: Sekurang-kurangnya 37 terbunuh apabila tiga bas bertembung di luar bandar Maiduguri di timur laut Nigeria.

Kemalangan itu berlaku pada Selasa apabila dua bas komersial bertembung secara langsung dan terbakar sebelum bas ketiga merempuh mereka, kata Utten Boyi, ketua agensi keselamatan jalan raya bagi negeri Borno.

"Setakat ini, 37 orang disahkan meninggal dunia dan kebanyakan mangsa melecur sehingga tidak dapat dikenali," kata Boyi.

Perlanggaran berlaku berhampiran perkampungan Jakana, kira-kira 35 kilometer di luar Maiduguri, ibu negeri Borno.

Perlanggaran berlaku apabila tayar salah sebuah bas pecah dan melanggar kenderaan yang datang dari arah bertentangan.

Boyi juga mengesahkan bas dipandu laju melebihi had pemanduan sebagai punca kemalangan itu.

Kemalangan adalah perkara biasa di jalan raya Nigeria yang tidak diselenggara dengan baik, negara paling ramai penduduk di Afrika, disebabkan sebahagian besarnya memandu laju dan mengabaikan peraturan lalu lintas.

Terdahulu pada Selasa, 17 terbunuh dan empat cedera apabila bas mereka merempuh sebuah trak berhampiran ibu negara Nigeria, Abuja, lapor media tempatan, memetik seorang pegawai keselamatan jalan raya.

Mangsa dalam perjalanan dari timur laut negeri Gombe, menurut laporan media.

Sembilan orang lemas pada Sabtu apabila kereta mereka yang lebih muatan terjunam ke dalam empangan selepas tayar pecah di luar bandar utara Kano, menurut pegawai keselamatan kebakaran.

Disiarkan pada: November 23, 2022 @ 10:39am
d