Afrika

China bina bangunan Parlimen baharu Zimbabwe

Oleh AP

Harare: Presiden Zimbabwe Emmerson Mnangagwa memuji hubungan cemerlang dengan China ketika beliau menyampaikan ucapan buat kali pertama di bangunan baharu Parlimen bernilai jutaan dolar yang 'dihadiahkan' oleh gergasi ekonomi Asia itu.

China menyalurkan pembiayaan dan membina ban0gunan Parlimen enam tingkat bernilai AS$200 juta (kira-kira RM2.72 bilion) di Mount Hampden, kira-kira 18 kilometer di barat ibu negara, Harare, sebagai 'hadiah' menandakan pengaruhnya yang semakin meningkat ke atas negara bekas jajahan British itu.

Ucapan itu yang turut membuka secara rasmi sesi terakhir Parlimen sebelum pilihan raya tahun depan, menandakan perpindahan dari bangunan Parlimen ala Victoria era kolonial di tengah Harare.

Zimbabwe berkata, ia merancang untuk menubuhkan ibu kota 'pintar' baharu di Mount Hampden, di mana pejabat kerajaan akan ditempatkan, jauh dari ibu kota Harare yang sesak.

Dalam ucapannya, Mnangagwa menyifatkan puncak gunung yang terletak di atas tanah seluas 3.3 hektar sebagai "megah."

Beliau berkata, bangunan itu adalah saksi perkongsian strategik dan komprehensif serta hubungan persaudaraan yang sangat baik antara Zimbabwe dan China.

Kerajaan tidak menetapkan tarikh pembukaan atau penyerahan rasmi bangunan itu yang akan dilakukan pada satu tarikh yang diumumkan kemudian.

Hubungan kedua-dua negara itu bermula sejak 1960-an, apabila China membantu melatih dan membekalkan pejuang gerila dalam memerangi pemerintahan minoriti kulit putih.

Negara itu bagaimanapun mengekalkan hubungan rapat dengan Britain dan negara Barat lain selepas kemerdekaan pada 1980.

Sejak 2003, Zimbabwe melihat kepada China, dan juga Rusia untuk persahabatan dan bantuan selepas berselisih dengan negara Barat.

Ia susulan negara berkenaan mengenakan sekatan terhadapnya berikutan dakwaan pencabulan hak asasi manusia dan penipuan undi yang dilakukan oleh Presiden Robert Mugabe ketika itu, yang kehilangan kuasa pada 2017 dan meninggal dunia pada 2019.

China juga terbabit secara besar-besaran dalam membina dan membiayai projek infrastruktur mega di Zimbabwe yang termasuk lapangan terbang utama.

Sebuah syarikat China membina Kolej Pertahanan Nasional di Harare, yang dibuka pada 2014 dan dibiayai dengan pinjaman AS$98 juta (kira-kira RM444 juta) tanpa faedah oleh China.

Pembabitan China selanjutnya merangkumi hampir setiap sektor ekonomi Zimbabwe daripada tenaga kepada perlombongan dan pertanian.

Disiarkan pada: November 24, 2022 @ 11:39am
d