Afrika

Ghana mahu beli minyak dengan emas

Oleh Reuters

Accra: Kerajaan Ghana merancang untuk kembali kepada sistem perdagangan tukar barang atau sistem barter.

Bagi melindungi rizab mata wang asing negara yang semakin berkurangan, Ghana mahu membayar minyak dengan emas dan bukannya dengan dolar Amerika Syarikat (AS), kata Naib Presiden Ghana Mahamudu Bawumia, baru-baru ini.

Rizab antarabangsa kasar Ghana merosot kira-kira satu pertiga daripada AS$9.7 bilion (kira-kira RM43.5 bilion) pada akhir 2021 kepada kira-kira AS$6.6 bilion (RM30 bilion) pada akhir September 2022, menurut data rasmi.

Rizab itu mampu menampung hanya 2.9 bulan import barangan dan perkhidmatan negara, kurang daripada sasaran kerajaan untuk menampung import bernilai tiga setengah bulan bagi 2022, menurut salinan ucapan belanjawan negara yang disampaikan oleh Menteri Kewangan Ken Ofori-Atta, baru-baru ini.

Kerajaan Ghana sedang mencari mekanisme melaksanakan dasar baharu menggunakan emas untuk membeli produk minyak pada suku pertama 2023, mengatasi inflasi akibat kejatuhan nilai Cedi, mata wang Ghana.

Cedi jatuh berbanding dolar AS kerana terdapat permintaan kukuh untuk dolar daripada pengimport minyak, jelas Bawumia dalam catatan di Facebook.

Dengan tidak menggunakan dolar AS dalam perdagangan minyak negara, langkah itu dijangka mengurangkan "susut nilai berterusan" cedi, kerana penjual bahan api di negara ini tidak lagi perlu mengambil kira kadar pertukaran dolar-cedi apabila menetapkan harga produk mereka, tambahnya.

Dasar emas untuk minyak Ghana adalah luar biasa kerana ia sendiri adalah negara pengeluar minyak.

Bagaimanapun, ia masih perlu mengimport produk minyak bertapis seperti gas dan diesel kerana satu-satunya kilang penapisan minyak Ghana berada di luar talian, berikutan letupan pada 2017, menurut Reuters.

Ia lebih luar biasa kerana tawaran tukar barang biasanya membabitkan negara pengeluar minyak yang berdagang untuk barangan bukan minyak.

Tetapi Ghana yang juga mengeluarkan emas terperangkap dalam krisis hutang dan sedang berunding pakej bantuan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa.

Disiarkan pada: November 29, 2022 @ 3:01pm
d