Afrika

14 maut banjir kilat ketika upacara keagamaan

Oleh AFP

Johannesburg: Sekurang-kurangnya 14 maut manakala beberapa mangsa lain masih hilang apabila banjir kilat melanda, kelmarin.

Jurucakap Perkhidmatan Pengurusan Kecemasan Kota Johannesburg, Robert Mulaudzi berkata, mangsa terbabit antara sekumpulan 33 penganut yang menyertai upacara gereja di tebing sungai Jukskei apabila banjir melanda kawasan itu, Sabtu lalu.

Katanya, paderi yang mengetuai upacara itu termasuk pembaptisan terselamat.

"Dua hanyut dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala 12 lagi mayat ditemukan," katanya.

Beliau berkata, pasukan penyelamat dan bomba masih mencari orang yang hilang, namun peluang untuk menemui mereka masih hidup semakin pudar.

"Orang ramai mempunyai akses percuma ke sungai dan mengamalkan agama mereka di mana mereka mahu.

"Tetapi kita mesti memperhebatkan kempen kesedaran untuk mengelakkan tragedi seperti ini berulang," katanya.

Peningkatan air secara tiba-tiba adalah perkara biasa di Johannesburg, di mana ribut berlaku hampir setiap malam semasa musim panas.

Disiarkan pada: December 5, 2022 @ 9:59am
d