Afrika

Berang telefon bimbit dirampas, pelajar perempuan bakar asrama

Oleh Agensi

Georgetown, Guyana: Gara-gara kecewa telefon bimbitnya dirampas, pelajar perempuan bertindak membakar sebuah asrama sekolah menengah hingga mengorbankan 19 penghuninya.

Portal Insider melaporkan, kebakaran berlaku di Sekolah Menengah Mahdia dekat Guyana, Ahad lalu.

Kenyataan dari Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Guyana berkata, punca kebakaran itu bermotifkan niat jahat.

Penasihat Keselamatan Negara, Gerald Gouveia memberitahu, suspek dalam kejadian itu, seorang pelajar di sekolah berkenaan dituduh membakar asrama selepas dikenakan tindakan disiplin kerana mempunyai hubungan dengan seorang lelaki yang lebih berusia.

"Pelajar perempuan disyaki menyebabkan kebakaran besar kerana telefon bimbitnya dirampas oleh warden asrama dan seorang guru," kata Ketua Komunikasi Polis Guyana, Mark Ramotar, dalam satu kenyataan yang dilihat oleh akhbar tempatan, Stabroek News.

Insider yang memetik laporan agensi berita melaporkan bahawa asrama itu dikunci untuk menghalang pelajar daripada menyelinap keluar pada waktu malam.

Gouveia memberitahu warden itu sudah tidur di dalam bangunan dan panik apabila dia tidak menemui kunci untuk membuka kunci pintu.

Dia berjaya keluar tetapi kehilangan anaknya yang berusia lima tahun dalam kebakaran.

"Apabila bomba tiba, bangunan kayu dan konkrit yang menempatkan 57 kanak-kanak itu hangus," kata perkhidmatan bomba.

Seramai 38 pelajar berjaya keluar selepas anggota bomba memecahkan lubang di dinding.

Mereka yang berjaya keluar termasuk enam kanak-kanak yang parah yang dibawa ke sini, untuk rawatan lanjut.

Seorang pegawai yang tidak dinamakan berkata, gadis itu mengaku menyebabkan kebakaran itu. lapor penyiar Jerman, Deutsche Welle.

Pelajar terbabit kini berada di bawah pengawasan polis di hospital dengan pihak berkuasa mempertimbangkan sama ada untuk mendakwanya.

Disiarkan pada: May 25, 2023 @ 11:53am
d