Afrika

Papan iklan tumbang, seorang maut

Oleh AFP

Kaherah: Seorang maut, manakala lima lagi cedera apabila papan iklan tumbang di sebuah lebuh raya akibat ribut pasir yang melanda ibu kota Mesir, semalam.

Menurut laporan akhbar utama negeri Al-Ahram, ribut itu menghancurkan empat kenderaan di lebuh raya di tengah-tengah Kaherah, kota yang menempatkan 20 juta orang penduduk.

Pihak berkuasa trafik berusaha untuk mengeluarkan serpihan papan iklan dan memulihkan pergerakan lalu lintas yang terhalang akibat insiden itu.

Menurut Kementerian Kesihatan, ribut pasir yang kerap melanda Mesir semasa musim bunga dan ia menyebabkan orang ramai mengalami masalah pernafasan.

Pihak berkuasa juga menutup dua pelabuhan di sepanjang Terusan Suez semalam kerana keadaan cuaca buruk termasuk angin kencang dan ombak tinggi susulan ribut pasir itu.

Pengurangan jarak penglihatan semasa ribut sama pada tahun 2021 menyebabkan kapal kontena gergasi Ever Given tersekat ketika merentasi Terusan Suez hingga mengganggu aliran perdagangan selama hampir seminggu.

Jalan raya Mesir juga terkenal kerana berbahaya dan tidak diselenggara dengan baik.

Malah, pemandu juga sering melanggar had laju dan peraturan lalu lintas lain.

Dengan populasi lebih 105 juta, Mesir adalah negara paling ramai penduduk di dunia Arab.

Disiarkan pada: June 2, 2023 @ 10:55am
d