Amerika Selatan

Diserang jerung ketika kencing

Oleh Agensi

Rio de Janeiro: Seorang lelaki yang dipercayai mabuk maut akibat diserang seekor jerung selepas dia memasuki laut untuk membuang air kecil, di pantai Brazil.

Marcelo Rocha Santos, 51, dilaporkan minum bersama beberapa rakannya sebelum dia memasuki air dan diserang jerung.

Portal The Sun melaporkan, saksi kejadian mengambil gambar mangsa di pantai.

Marcelo cedera parah termasuk hilang tangan dan kakinya selepas digigit haiwan pemangsa itu.

Dia sempat dikejarkan ke hospital di Recife, namun disahkan meninggal dunia.

Serangan mengerikan itu berlaku kira-kira 2 petang, Sabtu lalu di Pantai Piedade di bandar Jaboatao dos Guararapes di Brazil.

Pantai itu dikatakan kawasan panas untuk serangan jerung kerana ia terbuka dan tidak dilindungi karang.

Mekanik, Edriano Gomes berkata, Marcelo memasuki air kira-kira 2 petang ketika cuaca mendung dan laut berombak

"Rakan saya berada di laut dengan mangsa. Tiba-tiba, dia melihat lelaki itu sedang bergelut dan banyak darah di dalam air," katanya.

Saksi kejadian, Ademir Sebastiao da Silva berkata, mereka memasuki air untuk kencing kerana pantai itu tidak mempunyai tandas.

Disiarkan pada: July 15, 2021 @ 7:15am
d