Amerika Selatan

Mata wang Bolivar tak bernilai jadi kanvas lukisan [METROTV]

Oleh Agensi

Caracas: Mata wang Venezuela yang tiada lagi nilai berikutan kemerosotan ekonominya yang teruk dan tahap inflasi yang terlampau tinggi menyebabkan wang kertas itu kini hanya seperti kertas biasa.

Ia kini boleh didapati berselerak di jalanan, malah diabadikan sebagai kanvas oleh pelukis jalanan.

Wang kertas itu menjadi sumber inspirasi bagi pelukis dan seniman amatur yang diabadikan menerusi lukisan selepas ia tidak lagi bernilai.

EFE melaporkan, pelukis, Jean Franco Gonzalez, 24, berkata, dia melukis wajah negarawan, Simon Bolivar atau Bapa Kemerdekaan Venezuela seperti Francisco de Miranda.

Gonzalez melukis wajah baharu, pemandangan, barang atau watak terkenal, dari Salvador Dali hingga Frida Kahlo di atas wang kertas itu.

Apa sahaja diminta pelanggan akan dilukis di atas wang kertas berkenaan.

Ia termasuk senyuman watak Joker dalam filem Batman dan gambar kereta mewah.

Karya yang dilukis mendapat permintaan tertinggi di studionya, berbanding karya lain yang diletakkan di atas kanvas biasa.

"Saya mempunyai kotak gergasi yang penuh dengan wang kertas dihadiahkan kepada saya.

"Saya mempunyai semuanya, mulai dari wang kertas dua bolivar hingga yang terbaharu, saya mempunyai keseluruhan koleksi," katanya.

Wang kertas tertua yang dikeluarkan sekitar 1989 dan ia terpaksa dibeli memandangkan ia mempunyai nilai untuk pengumpul.

Venezuela menggunakan wang kertas dua bolivar hingga satu juta bolivar dalam mata wang terbaharu yang dikeluarkan oleh bank pusat pada separuh pertama 2021.

Ribuan penduduk negara itu yang terdesak, kini cuba berhijrah ke Columbia bagi melarikan diri daripada kebuluran dan peningkatan kadar jenayah disebabkan krisis ekonomi.

Disiarkan pada: July 17, 2021 @ 2:29pm
d