Amerika Selatan

'Jururawat' keguguran cuba larikan bayi

Oleh Agensi

Rio de Janeiro: Seorang wanita yang mengalami keguguran nekad menyamar sebagai jururawat demi melarikan seorang bayi di sebuah hospital di Brazil.

Talita Meireles, 23, dari Curtiba nekad berbuat demikian kerana mengalami keguguran beberapa hari sebelum kejadian namun takut untuk memaklumkan suaminya.

Ia menyebabkan dia bertindak cuba melarikan seorang bayi dan berhasrat untuk membesarkannya sebagai anaknya sendiri bersama-sama suaminya.

Tindakan itu bagaimanapun mengundang padah apabila dia ditahan polis yang menerima laporan berhubung kejadian.

The Sun melaporkan ketika ditahan, Talita mengaku kepada polis dia takut untuk berdepan dengan keluarga selepas mengalami keguguran.

Dia keguguran pada 27 Jun lalu dan kini mengalami masalah tekanan perasaan.

"Saya kehilangan anak dan tidak mahu memaklumkan perkara ini kepada keluarga dan sesiapa saja. Saya sendiri tidak tahu apa yang berlaku. Saya begitu tertekan," katanya.

Wanita itu juga berkata, suaminya kini mempunyai kerja di luar kawasan.

"Saya kini bersendirian dan tidak tahu apa yang berlegar di fikiran saya.

"Apabila melihat bayi, apa yang saya mahu lakukan adalah mendukung anak sendiri," katanya.

Ketika kejadian, Talita yang berpakaian jururawat dikatakan mengambil seorang bayi daripada seorang wanita di hospital itu.

Dia mengatakan perlu mengambil bayi berkenaan untuk tujuan ujian.

Polis dimaklumkan dia masuk ke dalam wad bersalin itu tanpa sebarang pas kerana jenayah itu dilakukan ketika pertukaran syif petugas.

Bagaimanapun, wanita itu tertangkap selepas petugas melihat dia yang sudah menukar pakaian seragam jururawat itu dilihat tidak memakai gelang tangan, membawa seorang bayi.

Disiarkan pada: July 20, 2021 @ 6:40am
d