Amerika Selatan

Presiden Brazil dituduh musnahkan hutan Amazon

Oleh AFP

Paris: Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, dituduh melakukan 'jenayah kemanusiaan' di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas kesalahan memusnahkan hutan Amazon.

Ini adalah kes pertama seumpamanya di mana seorang pemimpin dinamakan sebagai defendan utama dalam pertuduhan pemusnahan hutan yang dikaitkan secara langsung dengan kehilangan nyawa.

Pelepasan gas rumah hijau yang menyebabkan pemanasan iklim global, terutama daripada kegiatan pembakaran, perindustrian dan pertanian khususnya di hutan Amazon, adalah lebih tinggi berbanding pelepasan karbon tahunan Itali atau Sepanyol.

Penebangan hutan di rantau itu melepaskan lebih banyak karbon dioksida (Co2) daripada yang dapat diserap oleh seluruh hutan Amazon.

Kumpulan penyokong keadilan alam sekitar Austria, Allrise, mengemukakan aduan rasmi terhadap Bolsonaro di mahkamah yang berpusat di The Hague hari ini.

Mereka menuntut prosiding undang-undang terhadap Bolsonaro dan pentadbirannya atas tindakan 'yang secara langsung berkaitan dengan kesan negatif perubahan iklim di seluruh dunia'.

Kumpulan itu menuduh pemimpin Brazil itu menggerakkan kempen meluas mengakibatkan pembunuhan pembela alam sekitar dan membahayakan penduduk dunia melalui pelepasan disebabkan kegiatan penebangan hutan.

Pentadbiran Bolsonaro turut didakwa berusaha untuk 'menghapuskan secara sistematik undang-undang, agensi dan individu yang berfungsi untuk melindungi Amazon'.

Selain itu, beliau turut didakwa bertanggungjawab atas kehilangan 400,000 hektar hutan hujan tropika setiap tahun dan sejak mengambil alih pucuk pimpinan pada 1 Januari 2019, kadar penebangan hutan bulanan meningkat hingga 88 peratus.

Kumpulan pakar menganggarkan pelepasan karbon berpunca daripada pentadbiran Bolsonaro disebabkan penebangan hutan yang berleluasa menjadi punca lebih 180,000 kematian akibat kepanasan berlebihan di seluruh dunia pada abad ini.

Pejabat Bolsonaro tidak memberi maklum balas untuk sebarang komen yang diajukan AFP.

Disiarkan pada: October 12, 2021 @ 7:49pm