Amerika Selatan

Empat banduan ditemukan meninggal dunia

Oleh AFP

Quito: Empat banduan maut pada Khamis, di penjara sama 119 banduan terbunuh dalam insiden rusuhan terburuk di penjara Ecuador, dua minggu lalu.

Jabatan penjara kebangsaan, agensi SNAI dalam Twitter berkata, kematian itu 'disyaki akibat bunuh diri'.

Katanya, tahap keselamatan ditingkatkan di penjara yang terletak di selatan bandar pesisir, Guayaquil selepas mayat ditemukan pada awal pagi.

Sementara itu, menurut polis, dua beg pakaian yang dipenuhi dengan peluru juga ditemui di penjara sama ketika penggeledahan berasingan dilakukan.

Kumpulan geng yang dikaitkan dengan kartel dadah Mexico terutama kumpulan Sinaloa dan Jalisco New Generation berperang dengan senjata dan bom tangan di kompleks penjara terbabit, dua minggu lalu.

Beberapa banduan maut dipenggal, manakala yang lain dibakar.

Berdasarkan data rasmi, sehingga kini, rusuhan penjara menyebabkan 238 banduan maut.

Pada Februari, rusuhan serentak berlaku di empat penjara berasingan hingga menyebabkan 79 banduan terbunuh.

Rusuhan Guayaquil pada September lalu memaksa Presiden Guillermo Lasso mengisytiharkan darurat dalam sistem penjara.

Beliau mengerahkan 3,600 polis dan tentera membantu membuat rondaan dan menjaga keamanan di 65 kemudahan penjara di negara itu.

Penjara di Ecuador menempatkan 39,000 banduan, 30 peratus lebih ramai daripada kapasiti sebenar iaitu 30,000 orang sahaja.

Disiarkan pada: October 15, 2021 @ 10:08am