Amerika Selatan

Badak 'Raja Dadah' dikasi

Oleh AFP

Bogota: Sebanyak 24 daripada 80 badak air berkeliaran di ladang yang sebelum ini dimiliki mendiang raja dadah Colombia, Pablo Escobar dimandulkan berikutan pembiakan tidak terkawal spesies itu, kata pihak berkuasa.

Sebelum ditembak mati polis pada 1993, Escobar dilapor membeli sejumlah haiwan eksotik untuk ditempatkan di ladangnya, termasuk kuda belang, kanggaru, flamingo dan zirafah.

Selepas kematiannya, semua haiwan di ladang itu kecuali badak air terbabit dijual kepada zoo.

Pada asalnya, Escobar membeli seekor badak air jantan dan betina.

Haiwan terbabit dibiarkan berkeliaran di estet Hacienda Napoles milik mendiang yang diubah menjadi taman tema berikutan saiz dianggap terlalu besar untuk dipindahkan, tetapi sejak itu bilangannya terus bertambah.

Badak air disuntik ubat GonaCon, menurut buletin oleh Cornare iaitu pertubuhan perlindungan alam sekitar serantau di barat laut Colombia.

"Ia kontraseptif berkesan terhadap jantan dan betina serta lebih murah berbanding kaedah pemandulan secara pembedahan.

"Namun ia rumit kerana pakar menyarankan pemberian sebanyak tiga dos," menurut Cornare.

Sebelum ini, 11 badak air lain terbabit dimandulkan melalui kaedah lebih tradisional.

Pakar percaya ia kawanan badak air terbesar di luar Afrika dan mencetuskan pelbagai masalah.

"Kewujudan haiwan terbabit bukan dalam ekosistem mereka memberi kesan seperti pemindahan fauna tempatan," kata pakar daripada Cornare, David Echeverri dalam buletin itu.

Disiarkan pada: October 17, 2021 @ 6:45am
d