Amerika Selatan

Glauco hampir mati, Gleison kurus kering

Oleh Agensi

Rio de Janeiro: Dua beradik ditemukan hidup selepas 26 hari hilang dalam hutan tebal Amazon.

Gleison dan Glauco Carvalho Ferreira berusia sembilan dan enam tahun dilaporkan hilang selepas meninggalkan kampung untuk memburu burung.

Portal Daily Star melaporkan, mereka mendakwa mampu bertahan dengan makan buah sorb, buah asli yang tumbuh di hutan, dan air hujan.

Namun, dua beradik itu kini trauma akibat pengalaman pahit itu.

Kanak-kanak itu yang hampir menemui maut, kini pulih dengan cepat selepas mendapat rawatan dalam tempoh sebulan.

Gleison dan Glauco hilang dari rumah mereka di Perbandaran Manicoré, Brazil pada 18 Februari, mendorong kumpulan lebih 300 individu melakukan pencarian kira-kira 3,000 kilometer persegi hutan hujan itu dengan harapan dapat menemui kanak-kanak lelaki itu.

Akhirnya, kanak-kanak lelaki itu ditemui oleh petani Manoel Vilkem selepas mendengar salah seorang daripada mereka meminta bantuan ketika dia sedang menebang pokok.

Apabila dua beradik itu dikembalikan ke rumah mereka pada 15 Mac, mereka kurus kering dan hampir tidak dapat berdiri, lalu dibawa ke hospital di Manicoré.

Dr Suzyane Serfaty yang merawat kanak-kanak lelaki di hospital berkata, mereka berdua sangat kekurangan zat makanan dan dehidrasi, dengan keadaan Glauco hampir mati.

Mereka kemudiannya dipindahkan ke hospital di Manaus, bandar terbesar di Amazon Brazil.

Pakar Pediatrik Regina Alves berkata, kedua-dua kanak-kanak lelaki itu digigit kelawar dan terpaksa diberikan suntikan untuk melindungi mereka daripada rabies.

Glauco juga mengalami kehilangan fungsi buah pinggang akibat dehidrasi.

Tetapi, kedua-dua adik-beradik itu pulih dalam masa yang singkat dengan berat badan Gleison naik kepada 11 kilogram manakala Glauco meningkat daripada 12 kg kepada 17 kg.

Kanak-kanak lelaki itu menerima kaunseling ketika berada di hospital, dengan kaunselor mereka, Shirlene Siqueira.

Shirlene menyifatkan mereka sebagai 'kanak-kanak pahlawan yang patut dikagumi dan dihormati'.

Disiarkan pada: November 26, 2022 @ 4:15pm
d