Amerika Selatan

Peru musnahkan 37,000 unggas akibat selesema burung

Oleh AFP

Lima: Pihak berkuasa Peru terpaksa memusnahkan sekurang-kurangnya 37,000 ekor unggas di ladang penternakan akibat selsema burung.

Ketua Kawalan Penyakit Agensi Kesihatan Pertanian Negara (Senasa), Jorge Mantilla berkata, langkah itu diambil selepas wabak yang berlaku di sebuah ladang di Huacho, utara Lima, menjejaskan hidupan liar di beberapa kawasan di seluruh negara.

"Haiwan itu (dijangkiti) semua dimusnahkan. Fokus mengekang penularan jangkitan itu dilakukan di sebuah ladang kecil di utara Lima yang memiliki kira-kira 37,000 burung," katanya dipetik agensi berita negara, Andina.

Mantilla yang juga pakar veterinar berkata, memusnahkan unggas yang dijangkiti adalah sebahagian daripada protokol untuk mengawal wabak selsema burung.

"Tujuannya untuk mengelakkan jangkitan penyakit itu merebak ke kawasan lain kerana wabak ini boleh merisikokan kematian burung," katanya.

Untuk rekod, kira-kira 14,000 burung laut mati akibat selsema burung di negara ini dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Satu lagi langkah pemusnahan membabitkan 700 ekor unggas dilakukan di bandar Lambayeque, di utara Peru, bagi mencegah penyebaran virus itu.

Persatuan Ayam Peru menafikan wabak itu meletakkan pengeluaran ayam dan telur di negara itu berisiko.

Berkuat kuasa pada Khamis, Peru mengisytiharkan kecemasan kesihatan negara selama 90 hari selepas mengesahkan kes selsema burung H5N1 dalam ayam ternakan.

Menurut Senasa, penyakit itu ditularkan daripada burung liar yang datang dari Amerika Utara sebelum tiba ke Patagonia.

Wabak pertama selsema burung di Amerika Syarikat (AS) mula melanda Kanada tahun lalu sebelum ia dikesan menular di negara itu pada Januari tahun ini hingga menjejaskan pengeluaran ayam.

Selsema burung adalah penyakit yang tidak mempunyai penawar atau rawatan yang boleh menyebabkan kematian tinggi burung liar dan domestik seperti itik, ayam dan ayam belanda.

Disiarkan pada: December 2, 2022 @ 2:58pm
d