Amerika Selatan

3 terbunuh, 20 terperangkap akibat tanah runtuh

Oleh AFP

Bogotá: Tiga terbunuh manakala kira-kira 20 orang terperangkap dalam lumpur akibat kejadian tanah runtuh di sebuah jalan raya di barat laut, Colombia, semalam.

Pasukan penyelamat dilaporkan giat mencari penumpang bas dan penunggang motosikal yang terperangkap dalam kemalangan yang berlaku di kawasan terpencil sebuah perbandaran Pueblo Rico.

"Sembilan diselamatkan, tiga maut dan dianggarkan 20 lagi belum ditemui.

"Ia adalah satu tragedi," ciap Presiden Gustavo Petro di Twitter.

Pegawai pertahanan awam melaporkan, seorang daripada yang maut ialah kanak-kanak berusia tujuh tahun.

Katanya, bas itu bertolak dari bandar Cali dengan 25 penumpang.

Seorang mangsa, Andres Ibarguen yang terselamat pula berkata, mereka bernasib baik kerana pemandu bas itu berjaya mengelak kejadian tanah runtuh yang paling teruk.

"Sebahagian daripadanya turun dan bas agak kebelakang dari situ.

"Pemandu bas mengundur apabila tanah runtuh," katanya kepada stesen radio Lloro Stereo.

Menurut kerajaan, musim hujan yang bermula pada Ogos lalu adalah yang paling buruk melanda Colombia dalam tempoh 40 tahun hingga menyebabkan kemalangan yang mengorbankan lebih 270 orang.

Disiarkan pada: December 5, 2022 @ 12:42pm
d