Amerika Selatan

Seludup kanabis di sebalik misi kemanusiaan Ukraine

Oleh AFP

Madrid: Polis Sepanyol menumpaskan kumpulan penyeludupan kanabis ke seluruh Eropah bernilai RM3.7 juta yang menyamar di sebalik konvoi misi bantuan kemanusiaan Ukraine.

Guardia Civil dalam satu kenyataan mengesahkan, polis menahan 30 suspek membabitkan warga Sepanyol, Ukraine, Jerman dan Maghribi di beberapa lokasi di seluruh wilayah selatan Andalusia.

"Ganja itu dipercayai dari ladang yang terletak di seluruh wilayah itu dibungkus dalam kotak kadbod kononnya sebagai bekalan dan bantuan kemanusiaan untuk Ukraine.

"Bahan itu kemudiannya dimasukkan ke dalam van yang didaftarkan di Ukraine yang kononnya sebagai konvoi solidariti supaya boleh melepasi kawalan polis dan sempadan," katanya.

Polis menerima maklumat mengenai penyeludupan itu selepas mengenal pasti sekumpulan warga Ukraine di Costa del Sol yang mengumpul sejumlah besar ganja yang disimpan di sebuah flat di Mijas, sebuah bandar berhampiran Malaga.

Ketika serbuan yang mensasarkan tapak di wilayah Malaga serta di bandar selatan Granada, Cordoba dan Seville, polis merampas hampir AS$847,000 (RM3,711,130.50), enam senjata api dan 2,500 pokok ganja.

Suspek didakwa atas pelbagai kesalahan termasuk mengedar dadah, terbabit jenayah dan memiliki senjata secara haram.

Disiarkan pada: December 6, 2022 @ 11:50am
d