Amerika Selatan

Presiden tarik balik dakwaan mangsa selamat

Oleh AFP

Bogota: Presiden Colombia, Gustavo Petro menarik semula dakwaannya mengenai tiga kanak-kanak dan seorang bayi Orang Asli yang hilang lebih dua minggu selepas nahas pesawat di Amazon, ditemukan selamat.

Dalam ciapan di Twitter, Petro berkata, beliau memadamkan perkongsiannya pada malam Rabu lalu mengenai pengumuman beliau berhubung penyelamatan tiga kanak-kanak dan seorang bayi berusia 11 bulan.

"Saya kesal dengan apa yang berlaku. Pasukan tentera dan masyarakat Orang Asli akan meneruskan pencarian tanpa jemu untuk memberi negara berita yang ditunggu-tunggu.

"Pada masa ini tiada keutamaan lain selain daripada meneruskan pencarian sehingga menemui mereka.

"Nyawa kanak-kanak (dan bayi) itu adalah perkara paling penting," katanya.

Nenek kanak-kanak itu, Fidencio Valencia berkata, keluarga menaruh harapan mereka akan ditemukan dalam keadaan hidup kerana mereka sudah biasa berada di dalam hutan.

"Mungkin mereka bersembunyi kerana ketakutan.

"Orang Asli akan membantu pasukan penyelamat menjejaki mereka," katanya kepada siaran berita televisyen Caracol Noticias.

Lebih 100 tentera dikerahkan bersama anjing pengesan untuk mencari mangsa yang menaiki sebuah pesawat sebelum terhempas pada 1 Mei lalu.

Nahas menyebabkan tiga orang dewasa termasuk juruterbang dan ibu kanak-kanak itu maut.

Pasukan penyelamat percaya kanak-kanak itu yang berusia empat, sembilan dan 13 tahun selain bayi berusia 11 bulan berada di dalam hutan di bahagian selatan Caqueta sejak nahas itu.

Rabu lalu, pengumuman menakjubkan Petro disambut dengan ketidakpastian apabila beliau tidak memberikan butiran mengenai lokasi atau bagaimana kanak-kanak itu diselamatkan mahupun bagaimana mereka terselamat sendirian dalam hutan.

Di tengah-tengah kekeliruan yang meluas, tentera tidak mengulas sejak pengumuman Petro itu.

Isnin dan Selasa lalu, tentera menemui mayat juruterbang dan dua orang dewasa yang terbang dari lokasi hutan ke San Jose del Guaviare, salah satu bandar utama di timur Colombia.

Pihak berkuasa belum menyatakan punca nahas pesawat itu.

Badan Tindak Balas Bencana Colombia berkata, juruterbang melaporkan masalah enjin hanya beberapa minit sebelum pesawat itu hilang daripada radar.

Disiarkan pada: May 19, 2023 @ 10:54am
d