Amerika Selatan

Rempuhan di stadium bola sepak, 12 terkorban [METROTV]

Oleh AFP

San Salvador: Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dalam rempuhan di stadium El Salvador di mana peminat bola sepak berkumpul untuk menonton kejohanan tempatan, semalam.

Pihak berkuasa berkata, laporan awal menunjukkan kumpulan penyokong yang cuba memasuki Stadium Cuscatlan di ibu negara San Salvador untuk menonton perlawanan antara pasukan Alianza dan FAS.

Perlawanan itu ditangguhkan apabila kakitangan kecemasan memindahkan orang ramai dari stadium, di mana ratusan pegawai polis dan tentera berkumpul ketika siren ambulans dibunyikan.

"Setakat ini, kami mendapati seramai 12 individu menjadi mangsa, sembilan berada di stadium dan tiga lagi dimaklumkan berada di hospital berbeza," kata Pengarah Polis Awam Negara (PNC) Mauricio Arriaza kepada pemberita.

Menteri Kesihatan Francisco Alabi berkata rangkaian hospital negara itu "menyediakan rawatan perubatan kepada semua pesakit."

Menteri Dalam Negeri Juan Carlos Bidegain berkata responden pertama perkhidmatan perlindungan awam berada di tempat kejadian.

Carlos Fuentes, jurucakap kumpulan perkhidmatan kecemasan Comandos de Salvamento, berkata mereka sedang merawat lebih 500 orang.

Kira-kira 100 orang dalam keadaan serius telah dibawa ke hospital, dengan beberapa menunjukkan tanda-tanda asfiksia dan jenis trauma lain, kata Fuentes.

Rempuhan itu dikatakan bermula selepas pintu stadium tumbang, menyebabkan orang ramai berkerumun, katanya.

Sekurang-kurangnya dua daripada yang cedera berada dalam keadaan kritikal, menurut polis.

Presiden El Salvador Nayib Bukele berkata PNC dan Pejabat Peguam Negara akan menyiasat kejadian itu dan mereka yang bertanggungjawab akan dihukum.

"Semua orang akan disiasat: pasukan, pengurus, stadium, liga, persekutuan," kata Bukele di Twitter.

Dia memberi amaran bahawa "siapa pun yang bersalah, mereka tidak akan terlepas dari hukuman."

Persekutuan Bola Sepak Salvador (Fesfut) dalam satu kenyataan berkata ia "sangat menyesali" kejadian yang berlaku di stadium dan "menyatakan solidaritinya" dengan keluarga mereka yang "terbunuh."

"Fesfut akan segera meminta laporan tentang apa yang berlaku dan akan menyampaikan maklumat berkaitan secepat mungkin," katanya.

Tragedi itu berlaku tujuh bulan selepas 135 orang, termasuk lebih 40 kanak-kanak, terbunuh dalam rempuhan susulan perlawanan bola sepak di Malang, Indonesia.

Polis telah cuba mengawal peminat dengan gas pemedih mata dan ramai mangsa yang panik atau sesak nafas ketika cuba menggunakan pintu keluar yang tertutup atau sempit.

Seorang pegawai polis Indonesia dan dua pegawai perlawanan telah dipenjarakan selama 12 hingga 18 bulan kerana kejadian itu.

Disiarkan pada: May 21, 2023 @ 3:58pm
d