Amerika Utara

NYC tawar AS$100 untuk penerima dos pertama [METROTV]

Oleh BERNAMA

Washington: New York City (NYC) akan membayar AS$100 (kira-kira RM422) kepada individu yang mendapatkan vaksin di situ, kata Datuk Bandar Mayor Bill de Blasio, pada Rabu.

Menurut Agensi Anadolu, datuk bandar ketika membuat pengumuman itu pada satu sidang media berkata, insentif berkenaan akan berkuat kuasa Jumaat ini.

Untuk layak menerima wang itu, penduduk New York perlu pergi ke pusat vaksin yang dikendalikan oleh perbandaran.

Ganjaran itu hanya untuk penerima dos pertama.

"Kami akan berkata' terima kasih'. Kami akan berkata 'kami gembira kamu menerima suntikan vaksin untuk diri kamu, keluarga dan komuniti kami', dan ini AS$100 kerana melakukan perkara yang betul," kata de Blasio.

"Tidak hanya kamu menerima AS$100, anda layak untuk buat apa sahaja di bandar yang indah ini termasuk mengunjungi konsert yang akan diadakan tidak lama lagi," tambahnya.

Langkah itu untuk meningkatkan kadar vaksinasi ketika seluruh negara kini memperhebat program sama untuk mengekang penularan varian Delta.

New York City kini mewajibkan semua kakitangan perbandaran, termasuk polis, guru dan bomba untuk divaksin dan perlu menjalani ujian saringan mingguan, mulai September ini.

Disiarkan pada: July 29, 2021 @ 1:11pm
d