Amerika Utara

Gempa kuat di Alaska, amaran tsunami dikeluarkan

Oleh AFP

Washington: Gempa bumi kuat bermagnitud 8.2 melanda semenanjung Alaska, lewat Rabu, menurut Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

Amaran ancaman tsunami dikeluarkan.

Gempa itu dikesan di 91 kilometer (km) di tenggara bandar Perryville, menurut USGS, dengan amaran tsunami yang berpotensi menjejaskan selatan Alaska, dan semenanjung Alaska.

Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran tsunami di tenggara Alaska.

"Tsunami berbahaya susulan gempa bumi ini boleh berlaku dalam tempoh tiga jam berikutnya di kawasan persisiran pantai," menurut Sistem Amaran Tsunami AS.

Perryville adalah kampung kecil terletak kira-kira 804 km dari Anchorage, bandar terbesar di Alaska.

Sebelum ini, gempa bumi kuat bermagnitud 7.5 menyebabkan ombak tsunami berlaku di pantai tenggara Alaska pada Oktober.

Bagaimanapun, ia tidak menyebabkan kemalangan jiwa.

Alaska terletak dalam Lingkaran Api Pasifik yang mana aktiviti gunung berapi aktif dan gempa bumi sering berlaku.

Pada 1964, Alaska dilanda gempa bumi kuat bermagnitud 9.2, terkuat pernah direkodkan di Amerika Utara.

Ia menyebabkan kerosakan teruk di Anchorage dan mengakibatkan tsunami yang melanda Teluk Alaska, pantai barat AS, dan Hawaii.

Ia menyebabkan 250 orang terkorban.

Disiarkan pada: July 29, 2021 @ 3:34pm
d