Amerika Utara

Penularan varian Delta, AS mungkin tidak kenakan sekatan pergerakan

Oleh AFP

Washington: Amerika Syarikat (AS) tidak mungkin kembali kepada perintah berkurung, meskipun berlaku lonjakan kes Covid-19 yang berpunca daripada varian Delta, kata saintis terkemukanya Anthony Fauci.

Menurut penasihat penyakit berjangkit kepada Presiden Joe Biden itu, AS menghadapi 'kesakitan dan penderitaan di masa depan' tetapi dengan sejumlah penduduk yang sudah divaksin, ia cukup untuk mencegah berlakunya lonjakan kematian seperti tahun lalu.

"Saya tidak fikir kita akan berdepan semula perintah berkurung," katanya dalam program ABC 'This Week' pada Ahad.

Biden sebelum ini dilapor berkata, kerajaan berkemungkinan menguatkuasakan larangan baharu susulan penularan varian Delta.

Negara lain termasuk China dan Australia pula sudah mengenakan sekatan pergerakan semula bagi mengawal penularan varian itu yang berlaku tidak lama selepas aktiviti kehidupan kembali seperti biasa.

Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit AS minggu ini, menukar dasar dan meminta individu yang lengkap divaksin supaya kembali memakai pelitup muka di kawasan tertutup yang berisiko tinggi.

Perubahan peraturan pelitup muka itu selepas Biden meramalkan 'musim panas yang bebas' jika sejumlah penduduk negara sudah divaksin, yang menimbulkan kebimbangan akan menggugat keyakinan terhadap vaksin.

Fauci berkata, individu yang sudah menerima vaksin mempunyai risiko jangkitan dan kemasukan ke hospital yang lebih rendah, termasuk juga kematian.

"Kita akan melihat penularan dalam kalangan mereka yang tidak divaksin," katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Kesihatan Kebangsaan AS, Francis Collins berkata, beliau bimbang sesetengah penduduk mungkin menganggap perubahan terhadap dasar pelitup muka itu kerana vaksin tidak berkesan, "yang mana ia telahan yang salah."

"Jika anda sudah divaksin, kemungkinan untuk jatuh sakit berkurangan 25 kali ganda," katanya yang turut memberitahu kadar vaksinasi negara itu meningkat, ketika kes baharu Covid-19 naik berganda.

Kurang daripada 60 peratus penduduk AS yang berumur 12 tahun ke atas sudah divaksinasi sepenuhnya.

Disiarkan pada: August 2, 2021 @ 10:07am
d