Amerika Utara

Wanita teman anak di hospital dijel

Oleh Agensi

Tallahassee: Seorang ibu di Florida, Amerika Syarikat sanggup dipenjarakan kerana menemani anaknya di hospital.

Lynn Savage, 70, tidak mahu berganjak dari katil anaknya dirawat selepas waktu lawatan tamat.

Akibat perbuatannya itu, dia didakwa kerana menceroboh selepas tidak mematuhi peraturan melawat pesakit di sebuah hospital.

Savage berkata, dia tidak menyesal kerana mahu sentiasa berada di samping anaknya, Amber, yang baru selesai menjalani pembedahan otak di UF Health North di Jacksonville.

Katanya, seorang doktor meminta untuk menenangkan anaknya di wad selepas pembedahan itu selesai.

"Anak saya tidak boleh bercakap dan lumpuh sebelah kiri.

"Pada 7 malam, seorang jururawat meminta saya beredar kerana peraturan waktu melawat ketika Covid-19 sudah tamat.

"Saya tidak sampai hati meninggalkan dan membiarkan anak saya sendirian sepanjang malamnya menyebabkan saya tidak mahu berganjak dari wad itu," katanya kepada agensi berita WKRC yang dipetik New York Post.

Menurutnya, selepas beberapa jam tidak mengendahkan arahan pengawal keselamatan, dia dipenjarakan sehari.

Hospital terbabit dalam kenyataan memberitahu, mereka mengikut peraturan bagi memastikan keselamatan pesakit.

"Sama seperti organisasi penjagaan kesihatan seluruh negara, kami membuat polisi untuk melindungi setiap orang daripada jangkitan Covid-19 termasuk pesakit, pelawat dan kakitangan," katanya kepada Action News Jax.

Disiarkan pada: October 16, 2021 @ 6:35am
d