Amerika Utara

Budak 2 tahun tembak mati wanita

Oleh Agensi

Miami: Seorang lelaki dari Florida, Amerika Syarikat (AS) didakwa di mahkamah selepas teman wanitanya maut ditembak anak mereka yang berusia dua tahun.

Shamaya Lyn, 21, ditembak kanak-kanak itu yang menjumpai pistol milik tertuduh, Veondre Avery, 22, yang diletakkan dalam beg sandang.

Avery didakwa menyebabkan kematian dan gagal menyimpan senjata api dengan selamat.

Daftar rekod mahkamah dilapor BBC menunjukkan lelaki itu belum diwakili peguam dan tiada pengakuan direkodkan.

Menurut Polis Altamonte Springs, senjata api itu berada dalam beg sandang kanak-kanak dan diletakkan di atas lantai di bilik tidur pasangan terbabit.

Lyn didakwa ditembak dari belakang pada 11 Ogos lalu ketika melakukan panggilan video dengan rakan sekerja.

Rakan sekerja mangsa melaporkan kejadian kepada talian kecemasan selepas mendengar bunyi bising dan melihat Lyn jatuh.

"Kameranya terpasang ketika kejadian dan kami melihat anaknya menangis di belakang," katanya kepada polis yang dilapor media tempatan.

Menurut akhbar Orlando Sentinel, Avery mendakwa pulang ke rumah dan menemui teman wanitanya terbaring dengan berlumuran darah, selain melakukan CPR sementara menunggu ketibaan paramedik.

Dalam sidang media pada Selasa, Pegawai Polis Altamonte Springs, Roberto Ruiz berkata, sebagai pemilik senjata api, anda bertanggungjawab untuk menjaga ia dengan baik.

Disiarkan pada: October 17, 2021 @ 6:35am
d