Amerika Utara

Positif Covid-19 sehari selepas dihukum penjara seumur hidup

Oleh Agensi

Washington: Ahli perniagaan dan pewaris empayar hartanah Amerika Syarikat (AS), Robert Durst dimasukkan ke hospital kerana Covid-19, selepas sehari dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Durst, 78, yang kisahnya dirakam dalam dokumentari jenayah terbitan HBO, The Jinx didapati bersalah pada Khamis lalu kerana membunuh rakan baiknya, Susan Berman pada 2000.

Dia didakwa membunuh Berman untuk menutup mulut wanita itu daripada menyalur maklumat kepada polis mengenai kehilangan isterinya kira-kira dua dekad lalu.

Polis percaya Durst yang menderita pelbagai masalah kesihatan, sudah membunuh sekurang-kurangnya dua orang.

Peguam Durst, Dick DeGuerin memberitahu Los Angeles Times bahawa keadaan anak guamnya teruk dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

"Dia kelihatan lebih teruk berbanding kali terakhir saya melihatnya. Dia mengalami kesukaran bernafas dan sukar bercakap," katanya.

Tidak dapat dipastikan di hospital mana lelaki itu dirawat.

Pendakwa raya sebelum ini menggelar Durst sebagai 'psikopat narsistik', manakala lelaki itu sentiasa menafikan dia membunuh Berman.

Isterinya, Kathleen McCormack iaitu seorang pelajar perubatan hilang pada 1982 sebelum dianggap mati. Namun Durst tidak pernah didakwa atas kehilangan wanita itu.

Disiarkan pada: October 17, 2021 @ 10:36am
d