Amerika Utara

Jumpa 90 ular berbisa bawah rumah

Oleh Agensi

Los Angeles: Bukan seekor dua, bahkan lebih 90 ular berbisa ditemui pasukan Penyelamat Reptilia Sonoma County (SCRR) di bawah sebuah rumah di California, Amerika Syarikat.

Pasukan itu berkongsi penemuan terbabit dalam Facebook, awal Oktober lalu.

"Saya menerima panggilan daripada seseorang yang memberitahu terdapat ular di bawah rumahnya. Tiga jam 45 minit kemudian, saya keluar dengan sejumlah ular ini," menurut perkongsian itu yang disertakan bersama gambar.

Wakil agensi itu memaklumkan kiraan dibuat terhadap penemuan terbabit mengesahkan terdapat 59 anak ular dan 22 ular dewasa.

Al Wolf yang menjawab panggilan pengadu pula memberitahu sudah dua kali beliau ke rumah berkenaan untuk buat pemeriksaan dan kunjungan terakhir menemui 11 lagi ular, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 92.

"Mungkin ada lebih banyak lagi (ular). Saya akan ke sana lagi bulan ini," katanya.

Disiarkan pada: October 18, 2021 @ 7:01am
d