Amerika Utara

Nasa lancar misi rempuh asteroid

Oleh Agensi

Washington: Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (Nasa) akan melancarkan kapal angkasa bulan depan untuk merempuh asteroid dan mengubah laluannya.

The Washington Post melaporkan pelancaran misi Double Asteroid Redirection Test (Dart) akan berlangsung pada 24 November ini, kata agensi itu.

Roket SpaceX Falcon 9 akan dilancarkan dari Pangkalan Angkasa Angkasa Vandenberg, kira-kira 80 kilometer di barat laut Santa Barbara, California.

Nasa menyasarkan sepasang asteroid yang mengorbit matahari dan ada ketikanya ia mendekati Bumi.

Ia tidak berada begitu dekat untuk memberikan ancaman, tetapi jarak itu menjadikannya sasaran utama untuk ujian teknik mencegah asteroid berbahaya daripada menghentam bumi.

"Kami akan memastikan bahawa batu dari angkasa tidak menghantar kita kembali ke Zaman Batu," kata Thomas Statler, seorang saintis Nasa.

Dimorphos, satu daripada asteroid itu berukuran 152 meter mempunyai persamaan dengan ukuran asteroid yang biasanya memberikan ancaman kepada bumi.

"Ia tidak semestinya asteroid yang akan mengundang sebarang kesan buruk di Bumi," katanya.

Disiarkan pada: October 19, 2021 @ 6:00am