Amerika Utara

Airbnb kekal larangan tetamu 'berparti'

Oleh AFP

Washington: Airbnb mengekalkan larangan semasa pandemik terhadap acara parti di premis yang disewa melalui aplikasinya kerana peraturan itu berkesan untuk menyelesaikan masalah.

Platform penyewaan secara ansuran itu mengetatkan polisinya selepas mendapat aduan dan beberapa masalah berprofil tinggi, termasuk tembakan yang mengorbankan lima orang di California pada 2019.

Airbnb melarang sementara acara hiburan pada 2020 sebagai langkah mengawal penyebaran Covid-19.

"Lama-kelamaan, pengharaman parti menjadi lebih daripada langkah kesihatan awam. Ia berkembang menjadi dasar komuniti," kata syarikat itu.

Sebelum ini, pemilik hartanah diberi ruang untuk menggunakan pertimbangan terbaik mereka sama ada membenarkan acara hiburan, namun ia diperketatkan bagi menghalang parti di rumah serta acara besar yang diiklankan di media sosial.

Selepas pandemik melanda dan menyebabkan penutupan banyak tempat hiburan malam, orang ramai beralih dengan menganjurkan acara di tempat yang disewa melalui Airbnb, yang menyebabkan masalah.

Tetapi Airbnb berkata, peraturan yang lebih ketat berkesan dalam mengurangkan kadar aduan kekacauan yang diterimanya.

Di bawah dasar baharu, Airbnb juga akan menarik balik had 16 orang di premis sewa, peraturan yang digubal terhadap Covid-19, tetapi kini akan mengambil kira bahawa kawasan yang lebih besar sesuai untuk kumpulan yang ramai.

Syarikat itu berkata, mereka yang melanggar peraturan akan berdepan senarai hitam sepenuhnya daripada penggantungan akaun sambil menambah bahawa pada 2021, lebih 6,600 tetamu digantung kerana larangan itu.

Disiarkan pada: June 29, 2022 @ 10:36am
d