Amerika Utara

Ambil nyawa sendiri selepas anak mati tertinggal dalam kereta

Oleh Agensi

Richmond: Terlalu sedih kerana menyebabkan kematian anak lelaki berusia 18 bulan yang ditinggalkan dalam kereta, seorang lelaki menembak diri dalam kejadian yang dilaporkan berlaku di Jalan Aldengate di sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Polis Chesterfield Kolonel Christopher Hensley berkata, lelaki terbabit dipercayai meninggalkan kanak-kanak itu selama tiga jam dalam keretanya.

Menurutnya, insiden itu bermula apabila pihaknya menerima aduan awam kira-kira jam 11.42 pagi mendakwa ada individu meninggalkan anaknya dalam kenderaan sekitar bandar itu.

"Pihak berkuasa bergegas ke lokasi berkenaan namun kenderaan itu sudah tiada. Semakan lanjut dilakukan dengan ibu dan penjaga kanak-kanak itu yang kemudiannya memaklumkan pihaknya bimbang keselamatan kanak-kanak itu yang gagal dihantar ke pusat asuhan.

"Pihak berkuasa yang memperoleh alamat rumah lelaki itu bergegas ke lokasi itu namun pemeriksaan dalam kenderaan suspek tidak menemukan apa-apa," katanya.

Katanya, pihaknya memecah masuk rumah suspek sebelum menemukan kanak-kanak lelaki terbabit ditinggalkan sendirian dalam rumah itu dan disahkan sudah meninggal dunia.

"Usaha pemburuan suspek diteruskan dan tidak lama kemudian, lelaki itu ditemukan dalam hutan di belakang rumahnya juga sudah mati.

"Kita percaya dia menembak mati dirinya sendiri kerana menjadi punca kepada kematian anaknya," katanya.

Untuk rekod, pihak berkuasa tidak mendedahkan identiti bapa dan anak itu.

Disiarkan pada: July 1, 2022 @ 9:38am
d