Amerika Utara

Satu peluru tembusi dua orang

Oleh Agensi

Washington: Seorang lelaki di Dallas, Texas maut selepas terkena peluru yang sama dilepaskannya ke arah seorang wanita, baru-baru ini, kata polis.

New York Post melaporkan Jabatan Polis Dallas berkata, pegawai bergegas ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima panggilan mengenai satu kejadian tembakan.

"Apabila pegawai tiba, mereka dapat melihat darah dan kesan darah di hadapan sebuah apartmen.

"Tiada sesiapa di dalam apartmen," katanya.

Pada masa sama, terdapat satu lagi panggilan mengenai seorang lelaki dan seorang wanita yang ditemukan di dalam sebuah kereta.

Mangsa mengalami luka tembakan.

Siasatan seterusnya menentukan, menurut polis, Byron Redmon yang berusia 26 tahun menembak wanita itu di leher.

Peluru itu keluar dari badan mangsa dan mengenai kaki Redmon.

Lelaki terbabit kemudiannya meninggal dunia di sebuah hospital.

Dallas Morning News melaporkan mangsa wanita itu turut dirawat di hospital dan dibenarkan pulang ke rumah pada hari sama.

Identitinya belum didedahkan, dan polis tidak mendedahkan motif di sebalik kejadian maut itu.

Disiarkan pada: August 7, 2022 @ 7:00am
d