Amerika Utara

Pembunuhan Khashoggi: Hakim AS ketepi saman terhadap Mohammed Salman

Oleh AFP

Washington: Hakim Amerika Syarikat (AS) mengetepikan saman terhadap dakwaan Putera Arab Saudi, Mohammed Salman dalam kes pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi pada 2018.

Hakim Persekutuan Washington, John Bates menerima pendirian kerajaan AS bahawa Putera Mohammed yang dilantik sebagai Perdana Menteri Arab Saudi pada September lalu, menikmati imuniti di mahkamah AS sebagai ketua negara asing.

Bates berkata, saman sivil yang difailkan balu Khashoggi, Hatice Cengiz dan kumpulan aktivisnya Dawn membuat hujah yang kuat dan munasabah bahawa Putera Mohammed dalang di sebalik pembunuhan itu.

Namun, hakim itu berkata, beliau tidak mempunyai kuasa untuk menolak pendirian rasmi kerajaan AS yang dikemukakan dalam satu kenyataan rasmi kepada mahkamah pada 17 November, bahawa putera raja itu 'kebal' undang-undang sebagai pemimpin asing.

Putera Mohammed muncul sebagai pemerintah de facto kerajaan selama beberapa tahun di bawah pentadbiran bapanya, Raja Salman.

Aktivis yang menggesa Putera Mahkota bertanggungjawab atas pembunuhan Khashoggi menyuarakan kekecewaan selepas keputusan itu diumumkan.

Pada 2020, Mahkamah Arab Saudi menjatuhkan hukuman penjara kepada lapan orang berusia antara tujuh hingga 20 tahun atas pembunuhan itu.

Tahun lalu, Biden mendedahkan laporan perisikan yang mendapati Putera Mohammed meluluskan operasi terhadap pembunuhan Khashoggi, namun dinafikan pihak berkuasa Arab Saudi hingga merenggangkan hubungan antara Washington dan Riyadh.

Namun disebabkan keperluan politik Timur Tengah, khususnya ancaman dari Iran dan kuasa Arab Saudi ke atas pasaran minyak, Biden pergi ke negara itu pada Julai lalu yang dilihat sebagai sebagai langkah 'menutup' kes pembunuhan itu.

Khashoggi adalah seorang wartawan dan aktivis yang berpangkalan di AS yang menjadi salah seorang pengkritik putera raja paling lantang.

Dia didakwa dibunuh ketika ke Turki bersama tunangnya untuk mendapatkan dokumen perkahwinan mereka dari Konsulat Arab Saudi di Istanbul.

Selepas memasuki konsulat itu, Khashoggi diculik dan dibunuh sepasukan ejen Arab Saudi sebelum mayatnya dikerat dan dilupuskan.

Disiarkan pada: December 7, 2022 @ 10:16am
d