Amerika Utara

Apple disaman kerana AirTag

Oleh Agensi

San Francisco: Dua wanita menyaman Apple selepas mendakwa peranti AirTag memudahkan individu mengintip, menjejaki sebelum mengasari mereka.

Memetik laporan Bloomberg, kumpulan advokasi privasi memberi amaran selepas laporan polis mengesahkan AirTag juga boleh digunakan untuk mengintip individu disasarkan tanpa kebenaran.

Berdasarkan laporan aduan yang difailkan di Mahkamah Persekutuan San Francisco Isnin lalu, bekas teman lelaki salah seorang wanita yang memfailkan tuntutan mahkamah, meletakkan AirTag pada roda kereta wanita itu.

Dia kemudian dapat mengetahui ke mana wanita itu berpindah yang bertujuan untuk mengelakkan gangguan lelaki itu.

Sementara itu, seorang lagi mangsa berkata, suaminya yang tidak lagi duduk sebumbung, menjejaki pergerakannya dengan meletakkan AirTag di dalam beg galas anaknya.

Wanita terbabit mendakwa, syarikat itu cuai apabila mengeluarkan peranti yang tidak selamat dan memohon mahkamah memerintahkan pampasan dengan nilai yang masih belum ditentukan.

Dalam kes lain, penjejakan AirTag membawa kepada kes pembunuhan, menurut tuntutan mahkamah.

Contohnya, bekas teman lelaki menggunakan peranti itu untuk menjejak dan menembak seorang wanita di Akron, Ohio.

Selain itu, seorang wanita di Indianapolis, Indiana, menyembunyikan AirTag di dalam kereta bekas teman lelakinya sebelum mengekorinya ke bar, dan melanggarnya.

Apple mengeluarkan peranti itu pada April 2021

Selepas aduan berterusan daripada kumpulan advokasi privasi, syarikat itu meningkatkan perlindungan pada tahun ini serta memendekkan masa untuk notifikasi dan memberi amaran apabila ada AirTag tidak didaftarkan.

Apple juga mengeluarkan aplikasi untuk pengguna Android yang membolehkan mereka mengimbas AirTag di sekeliling mereka.

Disiarkan pada: December 7, 2022 @ 1:54pm
d