Amerika Utara

Wanita berjambang kerana PCOS nekad buktikan boleh hamil

Oleh Agensi

Ottawa: Suatu ketika dulu, wanita Kanada ini tersentap apabila doktor memberitahu dia tidak akan memiliki zuriat sendiri kerana tidak boleh hamil.

Namun, hari ini wanita itu, Gennevieve Vaillancourt, 39, hidup bahagia disamping suami dan anak mereka walaupun disahkan menghidap sindrom ovari polisistik (PCOS) yang mengganggu hormon, kesuburan dan rupa fizikal wanita.

Vaillancourt berkata, dia menyedari sesuatu berbeza tentang dirinya pada usia 18 tahun apabila tidak pernah mengalami kitaran haid, malah sejak usianya 14 tahun wajahnya mula tumbuh dengan misai dan jambang tebal.

"Masa itu memang agak sukar menyesuaikan diri dengan keadaan saya yang berbeza dari rakan sebaya lain.

"Tetapi selepas tahu menghidap PCOS, saya memutuskan untuk menerimanya dengan positif.

"Saya dipertemukan dengan suami, Marty Robitaille, 49, pada tahun 2007 sebelum kami sepakat berkahwin pada 2010," katanya.

Katanya, dia kini menjalani hidup seperti wanita lain dan membesarkan dua anak iaitu, anak tiri Emma, 18, serta anaknya dengan Robitaille, Duncan yang berusia empat tahun.

"Perkara yang mengganggu fikiran dan menyakitkan hati apabila doktor memberitahu saya mungkin tidak akan hamil.

"Memang sukar mempunyai kehamilan sihat, malah saya mengalami beberapa kali keguguran, tetapi akhirnya saya mempunyai anak sendiri.

"Saya harap doktor berhenti memberitahu pesakit PCOS perkara seperti ini kerana ia tidak benar dan boleh merampas harapan kami," katanya seperti dilaporkan Daily Star.

Gennevieve berkata, dia gemar berkongsi perjalanan hidupnya di media sosial sebagai satu daripada menyokong individu senasib.

"Saya tetapkan minda supaya menjadi lebih baik kepada diri sendiri hingga lama kelamaan saya jatuh cinta dengan kelainan pada diri saya

"Saya menerima banyak sokongan dan sambutan positif hingga membuatkan ketakutan saya bertukar kepada berani dan yakin.

"Memang ada juga kadangkala komen negatif yang menyakitkan hati, tetapi saya belajar mengatasinya," katanya.

Jurulatih dan Penceramah Pemerkasaan Wanita dalam talian itu kerap menganjurkan Malam Wanita Berbulu Maya setiap bulan bagi mewujudkan sistem sokongan dan membantu golongan itu menjadi diri mereka sendiri.

Disiarkan pada: June 3, 2023 @ 11:55am
d