Asia

Isteri PM Singapura puji peningkatan kadar vaksinasi Malaysia

Oleh BERNAMA

Singapura: Peningkatan kadar vaksinasi Covid-19 di Malaysia menerima pujian menggalakkan daripada isteri Perdana Menteri Singapura, Ho Ching, hari ini.

Dalam kemas kini di akaun Facebooknya, Ho Ching berkata kadar vaksinasi Malaysia meningkat hingga setengah juta suntikan setiap hari.

"Ini juga adalah kadar semasa di USA (Amerika Syarikat), tapi USA mempunyai jumlah penduduk yang 10 kali ganda daripada M'sia (Malaysia). Go, go, go!," tulisnya.

Jumlah vaksinasi harian Covid-19 di Malaysia melebihi 500,000 dos dalam tempoh enam hari berturut-turut, dengan 519,111 dos diberikan pada 31 Julai.

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dalam satu Infografik di Twitter pada 1 Ogos, daripada jumlah suntikan yang diberikan pada 31 Julai, sebanyak 316,492 adalah dos pertama manakala 202,619 dos kedua.

Secara kumulatif, 20,533,660 dos diberikan sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Malaysia (PICK) bermula pada 24 Februari.

Jumlah itu merangkumi 13,816,971 suntikan dos pertama manakala 6,716,689 lagi penerima yang telah dua dos.

Disiarkan pada: August 2, 2021 @ 2:30pm
d