Asia

Aku kaya RM418 bilion!

Oleh Agensi

New Delhi: Kedudukan individu terkaya di Asia, Mukesh Ambani kini setara dengan hartawan dunia, Elon Musk dan Jeff Bezos.

Lapor Bussines Today, Mukesh mengikuti jejak langkah Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Musk serta Pengasas Amazon, Bezos yang memiliki nilai kekayaan lebih AS$100 bilion (kira-kira RM415 bilion).

Ia selepas saham syarikat milik Mukesh, Reliance Industries melonjak kepada satu rekod tertinggi, baru-baru ini.

Berdasarkan Indeks Hartawan Bloomberg, nilai kekayaan Pengerusi dan Pengarah Urusan Reliance Industries itu kini mencecah AS$100.6 bilion (kira-kira RM418 bilion).

Secara rasminya, beliau menyertai 11 lagi individu dalam kelab lelaki terkaya dunia.

Mukesh mewarisi empayar perniagaan penapisan minyak dan petrokimia daripada mendiang bapanya, Dhirubhai Ambani pada 2005.

Sejak itu, Mukesh berusaha mengubah perniagaan tenaganya kepada runcit, teknologi dan e-dagang.

Jio, unit telekomunikasi dilancarkan Mukesh pada 2016 muncul sebagai syarikat dominan di India.

Tahun lalu, hasil peruncitan dan teknologi Mukesh berjaya mengumpul AS$27 bilion (RM112 bilion) dengan menjual saham kepada pelabur tenaga global seperti Google, Facebook dan Silver Lake.

Jun lalu, Mukesh mendedahkan impian tingginya terhadap pengeluaran tenaga hijau dengan rancangan pelaburan AS$10 bilion (RM41 bilion) selama tiga tahun.

Bulan lalu, Mukesh menegaskan, syarikatnya akan agresif meneruskan pengeluaran hidrogen hijau yang lebih murah.

Disiarkan pada: October 16, 2021 @ 6:55am
d