Asia

Myanmar akan bebaskan 5,000 tahanan

Oleh Agensi

Yangon: Myanmar akan membebaskan lebih 5,000 orang yang dipenjara kerana memprotes rampasan kuasa pada bulan Februari lalu.

Ketua junta negara itu, Min Aung Hlaing berkata, seramai 5,636 tahanan akan dibebaskan sempena festival Thadingyut pada bulan Oktober, lapor AFP.

Myanmar terjerumus dalam kekacauan sejak kudeta itu, dengan lebih dari 1,100 orang awam terbunuh dalam tindakan keras terhadap perbezaan pendapat dan lebih dari 8,000 ditangkap menurut kumpulan pemantau tempatan.

Lebih daripada 7,300 orang kini berada di penjara di seluruh negara, menurut Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik (AAPP

Ketua junta tidak memberikan perincian mengenai siapa yang akan dimasukkan dalam daftar berkenaandan pihak berkuasa penjara pula tidak memberi komen.

Pihak berkuasa Myanmar membebaskan lebih dari 2,000 penunjuk perasaan antikudeta dari penjara di seluruh negara pada bulan Julai, termasuk wartawan yang mengkritik tentera.

Mereka yang masih dalam tahanan termasuk wartawan Amerika Syarikat Danny Fenster, yang ditahan sejak ditangkap pada 24 Mei lalu.

Pengumuman mengenai pengampunan itu dibuat selepas Asean pada Jumaat memutuskan untuk mengecualikan Min Aung Hlaing daripada sidang kemuncak yang akan datang mengenai pengendalian krisis oleh pemerintah tentera.

Menteri-menteri luar Asean bersetuju bahawa 'wakil bukan politik' untuk Myanmar akan diundang ke sidang kemuncak 26 hingga 28 Oktober sebagai gantinya.

Tentera Myanmar sebelum ini merampas kuasa dengan alasan adanya manipulasi undi dalam pilihan raya tahun lalu, yang dimenangi parti Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD).

Suu Kyi, yang menghabiskan sebahagian besar hidupnya untuk menentang pemerintah Myanmar dijadualkan untuk memberi keterangan di mahkamah untuk pertama kalinya akhir bulan ini.

Disiarkan pada: October 18, 2021 @ 4:58pm
d