Asia

Ladang zaitun diserang ketika musim menuai

Oleh Agensi

Baitulmaqdis: Israel mula melancarkan serangan ke atas ladang zaitun milik warga Palestin ketika musim menuai tanaman itu bermula.

Arab News melaporkan, petani Palestin, masyarakat awam dan sukarelawan tempatan merakam tindakan penduduk Israel mencabut pokok zaitun, mencuri tanaman serta membakar kebun buah itu.

Timbalan Datuk Bandar Nablus, Anees Sweidan berkata, setiap tahun, pada waktu menuai ini, penduduk Israel akan menyerang wilayah itu untuk memusnahkan pokok zaitun yang diusahakan rakyat Palestin.

Katanya, pihak berkuasa Nablus membuka sebahagian jalan yang menghubungkan kawasan di sebelah timur bandar dengan perkampungan Assera Al-Shamieh untuk membantu rakyat Palestin melindungi tanah mereka daripada serangan Israel.

Beliau meminta masyarakat antarabangsa untuk memberikan perlindungan kepada penduduk Palestin daripada tindakan pendatang haram Yahudi.

Perlindungan itu termasuk kepada sukarelawan antarabangsa yang datang untuk membantu pada musim menuai.

Katanya, ancaman terbesar adalah di kawasan yang paling hampir dengan penempatan haram Israel.

Biskop Katolik di Sebastia, Atallah berkata, Tuhan tidak membenarkan ketidakadilan yang menimpa tempat suci orang lain dan juga pokok zaitun.

"Pohon zaitun adalah simbol kedamaian di Palestin. Ia juga simbol warisan kita di tanah suci ini.

"Pendatang Yahudi mungkin mencuri dan membakar, rakyat Palestin akan berdiri dan kita sebagai orang Kristian menyokong keadilan serta keadilan untuk rakyat Palestin," katanya kepada Arab News.

Disiarkan pada: October 19, 2021 @ 6:30am
d