Asia

Taufan Rai, 23 maut di Filipina

Oleh AFP

Manila: Sekurang-kurangnya 23 orang terbunuh dalam bencana taufan terkuat yang melanda Filipina tahun ini.

Lebih 300,000 penduduk meninggalkan rumah dan pusat peranginan pantai selepas Taufan Rai membadai selatan dan tengah wilayah kepulauan itu.

Jurucakap agensi bencana kebangsaan, Mark Timbal berkata, lebih 18,000 tentera, polis, pengawal pantai dan ahli bomba dikerahkan dalam misi mencari dan menyelamat di wilayah terjejas.

Sementara itu, Gabenor Arlene Bag-ao dalam hantaran Facebook berkata, pulau Dinagat menjadi padang jarak padang terkukur selepas banyak kediaman, bot serta ladang musnah dilanda taufan itu.

"Dinding dan bumbung diterbangkan macam kertas.

"Bekalan makanan dan air kita semakin berkurangan.

"Elektrik dan telekomunikasi juga terputus," katanya.

Ketua Persatuan Bulan Sabit dan Persekutuan Palang Merah Antarabangsa di Filipina, Alberto Bocanegra menyatakan kebimbangan gangguan kuasa elektrik akan menjejaskan bekalan air yang akan meningkatkan isu kebersihan dan penyakit.

Pusat ramalan cuaca negara berkata, taufan dengan kelajuan angin 195 kilometer itu muncul dari Laut China Selatan, pada Sabtu, sebelum menuju ke Vietnam.

Khamis lalu, Taufan Rai yang terkuat pernah berlaku dalam sedekad ini menghentam pusat pelancongan terkenal di pulau Siargao yang memiliki 100,000 populasi.

Filipina antara negara paling terjejas akibat perubahan iklim apabila dihentam kira-kira 20 ribut dan taufan setiap tahun.

Disiarkan pada: December 18, 2021 @ 3:31pm
d