Asia

Shanghai buka semula sektor perniagaan

Oleh Reuters

Shanghai: Selepas enam minggu melaksanakan sekatan pergerakan ketat dalam membendung penularan Covid-19, hab kewangan dan pembuatan China, akan membuka sektor perniagaan bermula esok.

Naib Datuk Bandar Shanghai, Chen Tong dalam satu taklimat media berkata, pembukaan itu termasuk kebenaran operasi pusat beli-belah, salun rambut dan pasar sayuran.

"Pusat beli-belah dan pasar raya akan mula beroperasi dengan pelanggan dibenarkan memasuki premis berkenaan secara teratur.

"Manakala salun rambut dan pasar sayuran pula akan dibuka dengan kapasiti terhad," katanya yang tidak memperincikan tahap pembukaan semula sektor berkenaan.

Pergerakan penduduk Shanghai sebelum ini terhad kepada membeli barang keperluan sahaja dengan sebahagian besar membeli-belah secara normal melalui platform dalam talian turut digantung sementara.

Seorang pegawai bandar berkata, Shanghai juga dijangka mengumumkan 'senarai putih' tahap ketiga (kebenaran) kepada lebih 820 syarikat yang terbabit dengan import dan eksport untuk menyambung semula operasi.

Disiarkan pada: May 15, 2022 @ 3:36pm
d