Asia

Afghanistan perlu bekalan perubatan

Oleh Reuters

Kabul: Afghanistan tidak mempunyai bekalan perubatan yang mencukupi untuk merawat mangsa yang cedera akibat gempa bumi yang mengorbankan 1,000 orang, kata seorang pegawai kanan pada Jumaat, ketika pihak berkuasa menamatkan pencarian mangsa yang terselamat di pergunungan terpencil di tenggara.

Kira-kira 2,000 orang cedera dan 10,000 rumah musnah sebahagian atau keseluruhannya dalam gempa bumi awal Rabu, Mohammad Nassim Haqqani, jurucakap kementerian bencana, memberitahu Reuters.

"Kementerian kesihatan tidak mempunyai ubat yang mencukupi, kita memerlukan bantuan perubatan dan keperluan lain kerana ia adalah bencana besar," katanya.

Gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter itu melanda kira-kira 160 km di tenggara Kabul berhampiran sempadan Pakistan.

Komunikasi yang lemah dan kekurangan jalan raya yang betul telah menghalang usaha bantuan di negara yang bergelut dengan krisis kemanusiaan yang merosot secara mendadak selepas Taliban mengambil alih Ogos lalu apabila tentera antarabangsa yang diketuai AS berundur.

Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Emiriah Arab Bersatu merancang untuk menghantar bantuan. Bekalan dari Pakistan telah pun melepasi sempadan.

India, yang mempunyai hubungan tegang dengan Taliban berkata, ia telah menghantar 27 tan bekalan dalam dua penerbangan untuk diserahkan kepada agensi bantuan antarabangsa.

Haqqani berkata pencarian mangsa yang terselamat telah dihentikan, kira-kira 48 jam selepas bencana itu berlaku.

"Operasi mencari telah selesai," katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2022 @ 5:32pm
d