Asia

Bayar tunai RM368 juta beli 49 bilik, 3 pantai

Oleh Agensi

Beijing: Seorang wanita China berusia 33 tahun membayar 80 juta euro (RM368 juta) secara tunai untuk pembelian 49 bilik dengan tiga pantai persendirian di Pulau Sardinia, Itali, menurut akhbar tertua pulau itu, L'unione Sarda.

Portal South China Morning Post melaporkan, pembeli itu dikenal pasti sebagai Nani Wang dan namanya sama dengan bekas pengarah lembaga JD Health International, cabang penjagaan kesihatan gergasi e-dagang China JD.com.

Identitinya terbongkar apabila juruwang bertauliah Wang menandatangani nota pemindahan segera untuk wang itu ke akaun bank Switzerland yang dipercayai milik penjual, pada 18 April, lapor akhbar Sardinia.

Joseph Jack Setton, seorang warga Amerika, dinamakan sebagai penjual hartanah itu.

JD Health tidak menjawab pertanyaan melalui e-mel oleh South China Morning Post.

Ia adalah salah satu transaksi hartanah terbesar pembeli dari China, sejak negara itu dilanda wabak Covid-19 pada 2020.

Tahun lalu, pembeli China membeli hartanah bernilai AS$2.3 bilion (kira-kira RM10 bilion) di Eropah, turun 18 peratus daripada AS$2.7 bilion (RM11.8 bilion) pada 2020, menurut kepada Real Capital Analytics.

Antara Januari hingga Mei tahun ini, pelaburan ini sudah mencecah AS$1.4 bilion (RM6.2 bilion).

Pengarah Urusan Vincorn Consulting and Appraisal di Hong Kong, Vincent Cheung, hartanah mewah dengan pantai persendirian di tempat pelancongan terkenal sememangnya menjadi buruan.

"Ia kerana ini adalah produk jarang ditemukan di pasaran," katanya.

Hartanah itu mungkin diperoleh untuk kegunaan sendiri atau dijadikan pusat peranginan berprestij untuk orang kaya dan terkenal, tambahnya. - Agensi

Disiarkan pada: July 1, 2022 @ 6:40am
d