Asia

Air New Zealand perkenal katil dua tingkat dalam pesawat

Oleh Agensi

Auckland: Air New Zealand akan membenarkan penumpang ekonomi untuk berbaring dan tidur sebentar di katil komunal dua tingkat di dalam pesawat untuk menarik penumpang penerbangan jarak jauh untuk tempoh lebih 17 jam.

The Guardian melaporkan syarikat penerbangan itu akan menjadi yang pertama di dunia menawarkan ciri itu apabila kabin baharunya dipasang menjelang 2024.

Penumpang ekonomi premium dan ekonomi biasa masih akan masih dijual seperti biasa.

Bagaimanapun, penumpang akan dapat menempah sesi empat jam dalam bilik tidur berbaring yang syarikat penerbangan itu namakan sebagai Skynest dengan kos tambahan.

Pod katil itu akan mempunyai tilam dan cadar yang akan ditukar oleh kru kabin, selepas setiap tempahan.

Setiap pod akan mempunyai tirai privasi, port pengecasan USB dan saluran pengudaraan.

Lima tempat duduk ekonomi akan dialihkan untuk memberi ruang untuk memasang enam pod Skynest di lapan pesawat Boeing 787-9 Dreamliner yang akan diterima Air New Zealand, mulai akhir 2024.

Jurucakap Air New Zealand memberitahu The Guardian, sementara kos tempahan untuk sesi empat jam di salah satu katil belum ditentukan, ia hanya akan dibuka kepada penumpang ekonomi biasa dan ekonomi premium.

Penumpang hanya boleh menempah satu sesi dalam pod pada setiap penerbangan.

Jurucakap itu berkata, pod tidur akan dihadkan kepada satu orang pada satu masa.

Ketua Eksekutif Air New Zealand Greg Foran berkata, katil dua tingkat itu akan menjadi pengubah keadaan (game changer) untuk pengalaman perjalanan ekonomi.

"Lokasi New Zealand meletakkan kami dalam kedudukan yang unik untuk menerajui pengalaman perjalanan ultra jarak jauh.

"Kami mementingkan tidur, keselesaan dan kesejahteraan kerana kami tahu betapa pentingnya untuk pelanggan kami tiba (di destinasi) dengan tenang.

"Sama ada mereka akan terus ke mesyuarat, atau ke tempat percutian pertama mereka, semuanya harus lancar," katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2022 @ 6:55am
d