Asia

Larangan perempuan 65 kg masuk kelab malam

Oleh Agensi

Beijing: Sebuah kelab malam di China dituduh melakukan diskriminasi jantina dan 'memalukan wanita gemuk' selepas ia dilaporkan melarang kemasukan wanita dengan berat lebih 65 kilogram (kg).

Menurut South China Morning Post (SCMP), larangan berat badan adalah sebahagian daripada senarai peraturan baharu yang bertujuan untuk menyediakan "persekitaran selamat untuk pelanggan".

Senarai itu juga melarang kemasukan orang botak, individu dengan rantai emas, fotografi, perjudian, dadah, merokok, kanak-kanak di bawah umur, selipar dan yang anehnya, nitrus oksida dikenali sebagai gas ketawa.

Media tempatan China melaporkan peraturan itu disenaraikan di papan kenyataan di pintu masuk utama kelab di bandar Wuxi di Jiangsu, timur China itu.

Disebabkan kesilapan dalam terjemahan, gambar tular tanda salah menyatakan larangan berat badan bermula pada 130kg dan bukannya 130 paun (65 kg).

Selepas gambar dan berita senarai kelab tular di media sosial serta menerima kritikan, seorang pekerja kelab yang tidak dinamakan itu berkata, ia hanyalah satu gimik.

"Polisi di notis hanyalah formaliti, perempuan (dengan berat) lebih 65 kg dibenarkan masuk," kata kakitangan itu kepada Xinyuan Video sambil menambah sesiapa sahaja dibenarkan masuk selagi mereka mengikut kod pakaian.

Pekerja itu kelihatan mewajarkan larangan itu dengan mengatakan kelab malam itu menerima banyak aduan mengenai wanita yang diganggu oleh orang botak dan mereka yang memakai rantai emas.

Laporan SCMP tidak menyatakan sama ada aduan diterima terhadap wanita yang mempunyai berat badan melebihi 65 kg.

Ia juga tidak menjelaskan mengapa larangan berat badan disasarkan secara khusus kepada mereka yang mempunyai berat 65 kg dan ke atas, atau mengapa dasar sama tidak terpakai untuk lelaki.

Walaupun mendapat kritikan, kelab itu enggan mengalihkan papan tanda itu.

Disiarkan pada: August 7, 2022 @ 6:00am
d