Asia

549 maut, banjir kilat di Pakistan

Oleh Reuters

Islamabad: Banjir kilat yang disebabkan oleh hujan monsun luar biasa lebat mengorbankan sekurang-kurangnya 549 orang di Pakistan, sejak sebulan lalu.

Komuniti terpencil di wilayah miskin barat daya Balochistan antara yang paling teruk terjejas, kata sebuah agensi kerajaan.

Agensi kerajaan dan tentera menubuhkan kem bantuan di kawasan yang dilanda banjir dan sedang berusaha untuk membantu menempatkan keluarga dan menyediakan makanan serta ubat-ubatan.

Selain kematian, bencana itu merosakkan lebih 46,200 rumah, kata Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA) pada Jumaat lalu.

"Kami melakukan yang terbaik untuk menyediakan bantuan meluas dan pemulihan mangsa banjir," kata Perdana Menteri Shehbaz Sharif ketika lawatan ke kawasan terjejas.

Tetapi kerajaan wilayah Balochistan berkata, pihaknya memerlukan lebih banyak dana dan merayu kepada organisasi antarabangsa untuk mendapatkan bantuan.

"Kerugian kami adalah besar," kata Ketua Menteri wilayah itu Abdul Qudoos Bezenjo.

Terdapat kekurangan makanan di setiap daerah yang dilanda banjir, dengan beberapa daerah juga terputus hubungan.

Bezenjo berkata, wilayahnya memerlukan 'bantuan besar' daripada kerajaan dan daripada agensi bantuan antarabangsa.

Disiarkan pada: August 7, 2022 @ 9:35am
d