Asia

8 maut, letupan bom di Kabul

Oleh Reuters

Kabul: Letupan bom berdekatan pusat beli-belah yang sibuk di ibu negara Afghanistan, semalam membunuh sekurang-kurangnya lapan orang dan mencederakan 22, kata pegawai hospital dan saksi.

Bom itu meletup di daerah barat bandar di mana ahli minoriti masyarakat Islam Syiah, kerap bertemu.

Militan Daish mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, kata kumpulan itu di saluran Telegram.

Seorang pegawai perubatan kanan di sebuah hospital swasta berkata, sekurang-kurangnya lapan maut dan 22 cedera.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri berkata, pasukan penyiasat berada di lokasi letupan untuk membantu mangsa yang cedera dan menilai mangsa.

Rakaman video yang disiarkan dalam talian menunjukkan ambulans bergegas ke tempat kejadian yang juga berhampiran stesen bas.

Jumaat lalu, sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan 18 cedera dalam letupan di Kabul yang dilakukan oleh militan Daish.

Militan Daish tidak menguasai mana-mana wilayah di Afghanistan tetapi ia mempunyai sel yang sudah menyerang kumpulan minoriti agama di negara itu serta pasukan rondaan Taliban.

Taliban yang mengambil alih pemerintahan Afghanistan pada Ogos tahun lalu selepas pemberontakan selama dua dekad berkata pihaknya akan menyediakan lebih banyak perlindungan untuk masjid Syiah dan kemudahan lain.

Disiarkan pada: August 7, 2022 @ 9:49am
d