Asia

Covid-19: 80,000 pelancong terkandas di Sanya

Oleh Agensi

Beijing: Kira-kira 80,000 pelancong terkandas di pusat peranginan pantai di selatan China, Sanya, selepas pihak berkuasa mengisytiharkannya sebagai kawasan panas (hospot) Covid-19 dan mengenakan sekatan, lapor AP

Sekatan itu berkuat kuasa pada pagi Sabtu lalu, ketika pihak berkuasa berusaha untuk membendung penularan Covid-19 di bandar di pulau Hainan itu.

Terdapat 229 kes yang disahkan pada Jumaat, dan tambahan 129 kes lagi pada Sabtu.

Parti Komunis China yang memerintah berpegang teguh pada pendekatan 'sifar-Covid' yang semakin bertentangan dengan seluruh dunia.

Virus Covid-19, baru-baru ini, di Shanghai merebak dengan begitu meluas sehingga pihak berkuasa menutup seluruh bandar itu sehingga dua bulan.

Ia menjejaskan jutaan penduduk dan memberi kesan kepada ekonomi negara.

Dalam pada itu, syarikat pengurusan kereta api melarang semua penjualan tiket di Sanya, manakala semua penerbangan ke destinasi itu juga dibatalkan pada Sabtu.

Pelancong yang ingin berlepas dari Sanya perlu diuji negatif untuk Covid-19 menerusi lima ujian PCR sepanjang tujuh hari, kata pihak berkuasa.

Sementara itu, hotel akan menawarkan tetamu diskaun 50 peratus dalam tempoh penutupan, kata seorang pegawai bandar dalam taklimat media.

Sekatan berlaku ketika kemuncak musim kedatangan pelancong di Sanya, yang terkenal dengan pusat peranginan dan pantainya.

Dalam pada itu, China melaporkan 868 kes baharu Covid-19 pada 6 Ogos (Sabtu), dengan 390 daripadanya adalah bergejala dan 478 lagi tidak bergejala.

Ia berbanding 704 kes baharu yang direkodkan sehari sebelumnya.

Setakat Sabtu, China merekodkan 230,886 kes Covid-19 dengan simptom.

Disiarkan pada: August 7, 2022 @ 10:34am