Asia

Lelaki letupkan diri di luar balai polis di Bandung [METROTV]

Oleh AP

Bandung: Lelaki meletupkan diri di luar sebuah balai polis di Pulau Jawa, dalam insiden serangan berani mati terbaharu di negara itu.

Ketua Polis Bandung Aswin Sipayung berkata, lelaki itu cuba memasuki balai polis Astana Anyar dengan motosikal dan meletupkan bahan letupan ketika polis beratur untuk perhimpunan pagi, mencederakan sekurang-kurangnya tiga pegawai.

Beliau berkata, polis masih menyiasat serangan di bandar di Jawa Barat itu dan sama ada lelaki berkenaan, yang belum dikenal pasti, mempunyai kaitan dengan kumpulan radikal.

Video di media sosial menunjukkan anggota badan berselerakan berhampiran motosikal yang terbakar dekat pintu pagar balai polis berkenaan.

Laporan televisyen menunjukkan asap putih kelihatan dari bangunan dan orang ramai berlari dalam keadaan panik susulan bunyi kuat.

Pada 2002, letupan di Bali membunuh 202 orang, dengan kebanyakannya adalah pelancong asing.

Serangan berskala lebih kecil dilaporkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang menyasarkan kerajaan, polis dan pasukan antikeganasan.

Pada Mei 2018, dua keluarga melancarkan siri serangan bom berani mati di gereja-gereja di Surabaya, membunuh lebih 12 orang termasuk dua kanak-kanak perempuan, yang mana ibu bapa mereka terbabit dalam serangan itu.

Polis berkata, bapa kepada kanak-kanak itu adalah ketua kepada kumpulan tempatan yang bersekutu dengan kumpulan militan Indonesia, Jemaah Anshorut Daulah.

Tahun lalu, dua penyerang dipercayai ahli kepada jaringan militan yang berikrar setia kepada militan Daish meletupkan diri di luar Katedral Roman Katolik yang sesak dengan pengunjung di Pulau Sulawesi, mengorbankan dua penyerang, dan mencederakan 20 orang.

.

Disiarkan pada: December 7, 2022 @ 12:26pm
d